Membuat pemilihan untuk menjadikan seseorang sebagai surihati , kekasih awal dan akhir dan pedamping hingga ke jannah bukanlah sesuatu yang mudah dengan hanya menunding jari kepada si A, B atau C. Ini kerana susuk yang bernama isteri ini mempunyai peranan yang penting kerana pada wanita tersebutlah segala urusan yang berkaitan rumahtangga diamanahkan. Menjaga kepentingan makan minum keluarga, menguruskan tempat tinggal dan kediaman , mengandung dan melahirkan zuriat daripada suaminya , mendidik anak-anak serta paling penting menjaga maruah dirinya dan suami. Islam tentunya sudah menyediakan tips atau dasar yang boleh kita ambil sebagai panduan untuk membuat pemilihan calon isteri mengikut syarak. Antaranya :
- Perempuan/wanita yang Taat Beragama
Sabda Nabi SAW :
“ Dinikahi perempuan itu kerana hartanya, dan kerana keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah yang beragama nescaya kamu akan beroleh keuntungan. “
- Mempunyai keturunan yang baik dan dibesarkan dalam persekitaran dan suasana yang sempurna akhlak dan peribadinya
Islam amat menggalakkan calon isteri dibesarkan di dalam masyarakat yang berhemah tinggi dan mempunyai budi pekerti yang baik serta mengamalkan cara hidup berlandaskan garis panduan Islam dan diredhai Allah swt. Ini akan memberi gambaran awal supaya keluarga yang bakal dibentuk nanti juga akan dapat diwujudkan dalam suasana harmoni , saling kasih mengasihi dan saling menghormati sesama suami dan isteri.
- Perempuan/wanita yang subur dan berpotensi untuk melahirkan ramai anak
Ini mungkin sedikit sukar untuk kita mengetahuinya, namun begitu ia boleh dilihat atau dikenali dengan melihat ramainya anak-anak saudara perempuan dan juga saudaramara perempuanya yang terdekat. Nabi Muhammad SAW akan berbangga dengan ramainya umat Islam pada hari kiamat nanti terutama umat yang beriman soleh dan bertaqwa.
- Sekufu atau hampir sekufu
Ini boleh dilihat daripada beberapa faktor antaranya , jarak umur diantara bakal suami dan isteri. Misalnya umur lelaki adalah 5-10 tahun lebih tua daripada wanita. Walaubagaimanapun ini bukanlah jarak yang paling sempurna. Selain itu latarbelakang si lelaki yang mempunyai pendidikan yang baik , taraf ekonomi yang lebih baik juga dapat menjamin rasa hormat si isteri pada suaminya. Ini penting kerana antara faktor yang membawa kepada kebahagiaan sesebuah keluarga adalah ekonomi yang stabil, pelajaran dan pendidikan yang baik serta kematangan umur yang bersesuaian.
- Masih gadis atau Anak Dara
Nabi SAW juga menggalakkan umat Islam memilih isteri daripada kalangan gadis, yakni bukan janda sesuai dengan nasihat Baginda SAW, kepada seorang sahabat iaitu Jabir r.a . Kemesraan yang akan lahir lebih menggembirakn kedua-dua belah pihak.
- Pasangan bukan datang daripada keluarga terdekat
Bukan tidak boleh tetapi ia tidak digalakkan ,misalnya berkahwin dengan kaum keluarga yang sangat hampir iaitu sepupu. Antara sebab yang utama ialah ia boleh mengurangkan keinginan syahwat yang boleh menjejaskan keharmonian perkahwinan dan bimbang mempunyai risiko mendapat anak yang cacat dan kurang bijak.