Apabila seseorang perempuan atau wanita sudah betul-betul pasti dan sudah membuat pilihan untuk menjadikan seseorang lelaki sebagai pasangannya maka pihak lelaki bolehlah menghantar wakil untuk melamar dan meminang calon isteri bagi pihaknya.

Walaubagaimana pun , sebelum pihak keluarga perempuan menerima lamaran tersebut, ibu dan bapa harus mendapatkan persetujuan anak perempuannya (yang dilamar) terlebih dahulu.
Anak perempuan yang dilamar tersebut berhak untuk meluahkan isi hatinya yang ikhlas dan memberi peluang kepadanya untuk menimbang tara lamaran tersebut. Ini sangat penting kerana apabila sebuah lamaran diterima dengan hati yang terbuka redha dan ikhlas , Insha Allah perkahwinan yang bakal berlangsung kelak akan mencipta sebuah institusi kekeluargaan yang harmoni, bahagia sehingga ke akhir hayat asbab bukan atas dasar paksaan berkahwin daripada ibubapa semata-mata.
Tidak Boleh Memaksa
Tindakan ibubapa yang memaksa anak perempuannya menerima lamaran adalah sama sekali tindakan yang tidak wajar, sekalipun individu tersebut adalah wali sah ke atas perempuan itu. Ini realiti yang sememangnya berlaku dalam masyarakat kita . Ia boleh terjadi atas dasar kemewahan, persahabatan dan lain-lain dan bukan atas dasar ketaatan kepada agama.
“ Tempoh sela masa sebelum diijabkabulkan ini dinamakan waktu pertunangan “
Apabila proses dan acara peminangan sudah selesai, biasanya wakil daripada pihak lelaki (ibu kepada calon suami) akan menyarungkan sebentuk cincin di jari manis calon isteri sebagai ‘tanda’ janji telah terikat dan pihak perempuan telah bersetuju dan menerima lamaran tersebut.
Apabila persetujuan telah dicapai bagi kedua-dua belah pihak, maka mereka akan mula mencari kata sepakat untuk berbincang tentang majlis ijabkabul dan kenduri termasuk tarikh dan tempat yang sesuai.
Tempoh Paling Mencabar
Boleh diakatan benar kerana inilah tempoh cubaan kepada bakal pasangan suami isteri . Agama Islam jelas mengharamkan pasangan bertunang ini untuk berdua-duaan ke sana dan ke mari. Pertunangan belum menghalalkan apa jua bentuk perkara-perkara yang yang halal bagi suami isteri yang SAH. Justeru itu tempoh pertunangan ini sebaiknya masing-masing terus memperbaiki diri dengan menambah ilmu pengetahuan tentang tanggungjawab dan mendekatkan diri kepada Allah swt.
Sabda Nabi SAW :
“ Tidak dibolehkan lelaki berdua-duaan dengan perempuan melainkan ada bersama-sama mahramnya (bapa atau keluarganya yang diharamkan berkahwin dengannya. “
